fb fb fb fb fb

Keputusan berhubung isu guru Mohd Fadli diketahui esok - Radzi Jidin

PUTRAJAYA, 17 Oktober- Keputusan berhubung tindakan tatatertib guru Matematik, Mohd Fadli Mohamed Salleh akan diketahui esok.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, keputusan itu akan diserahkan oleh Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan kepada ketua jabatan guru matematik berkenaan.

“Persidangan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan berhubung isu tersebut baru sahaja tamat dan esok, urus setia akan sampaikan keputusan,” kata Radzi kepada RTM selepas sesi pengenalan jurulatih sukan 'Touch' ternama dunia, Peter Walters di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 16 (1), petang tadi.

Menurut Radzi, perkara yang dibangkitkan Mohd Fadli itu sudah diambil tindakan oleh kementerian seperti isu beg berat dan silibus yang sudah diperkenalkan sejak 2017.

Tindakan yang dilaksana telah mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk guru yang berkepakaran dalam bidang masing-masing dan ibu bapa.

"Pada 6 Mac tahun ini, kita telah lancarkan tujuh inisiatif berhubung isu beg berat antaranya adalah penyediaan lokar di sekolah-sekolah. Saya telah jelaskan banyak kali bahawa kita terbuka dan ambil pandangan semua pihak berkenaan isu silibus, kita sentiasa semak silibus ini," tambah Radzi.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan ahli politik untuk tidak menggunakan isu silibus sebagai modal kempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

"Ahli politik jangan politikkan isu silibus kerana KPM memang sentiasa semak silibus ini dan kita mahukan yang terbaik," katanya.


(Foto Fail)

Media Baharu