KANGAR, 16 April- Kejadian ribut yang melanda beberapa kawasan di Perlis kira-kira pukul 3.00 petang tadi telah menjejaskan beberapa infrastruktur awam.
Sekolah Kebangsaan (SK) Ujong Batu, di sini paling teruk terjejas akibat ribut berkenaan.
Keseluruhan struktur bumbung bangunan dua tingkat sekolah itu musnah dibadai ribut yang telah menjejaskan pejabat pentadbiran dan juga tiga buah kelas.
Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Perlis Naharudeen Othman, sesi pengajian pada 17 dan 18 April terpaksa dibatalkan demi keselamatan pelajar sebelum permulaan cuti perayaan Aidilfitri yang akan bermula pada Rabu nanti.
"Kita telah mengambil satu keputusan disebabkan banyak serpihan bumbung yang bertaburan di kawasan sekolah. Jadi pada esok dan 18 April ini, semua pelajar termasuk Prasekolah akan kita cutikan kerana ia melibatkan aspek keselamatan. Perkara ini kita telah maklumkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)," katanya kepada pemberita di sini.
(Sekolah Kebangsaan (SK) Ujung Batu, di sini paling teruk terjejas
akibat ribut berkenaan)