(Pengusaha belalang kerutuk, Roslina Mohd Othman berupaya memasak dua kilogram belalang yang
mampu menghasilkan antara 40 hingga 45 botol sehari dan memakan masa selama tiga jam
untuk siap tidak termasuk proses membungkus)
PASIR PUTEH, 16 April - Setiap kali tibanya perayaan Aidilfitri, makanan eksotik belalang liar menjadi pilihan penduduk di negeri Kelantan sebagai juadah di pagi hari raya.
Bagi penggemarnya, belalang yang dimasak kerutuk atau goreng kunyit dikatakan enak dimakan bersama lemang atau ketupat palas.
Pengusaha belalang kerutuk, Roslina Mohd Othman, 43 tahun berkata, menjelang hari raya, dia pasti tidak menang tangan menyiapkan tempahan makanan warisan yang diusahakannya sejak tiga tahun lalu.
Katanya, permintaan kali ini agak tinggi lebih-lebih lagi kerutuk belalang kerana ia bagaikan serunding yang enak dimakan dengan ketupat yang dijadikan juadah istimewa ketika hari raya.
"Semua ada sebab kadang-kadang orang Kelantan tinggal di luar kan, tapi orang luar Kelantan pun ada makan (belalang kerutuk), ada kawan beritahu mertuanya orang Johor Bahru ke atau Melaka suka makan, dia kepit (belalang kerutuk) dengan roti, sedap katanya, ramai juga orang luar Kelantan makan," kata beliau kepada Berita RTM, di sini.
Ibu kepada empat orang anak ini berkata, harga sekilogram belalang lebih mahal berbanding sekilogram daging lembu dan kebanyakannya ditangkap secara manual menggunakan tangan tanpa peralatan khas.
(Belalang goreng kerutuk dijual pada harga RM15 sebotol manakala goreng kunyit pula dijual
dengan harga RM13 sebotol)
" Zaman dahulu mudah cari (belalang) ini, sekarang ini sudah payah sedikit, dah lah mahal, dulu orang tak mahu pun, stoknya ambil dengan budak di Gaal, Kampung Changgai, dia jual harga RM60 (sekilogram), sesetengah orang jual harga lain sikit, RM60 sekilogram beli dengan budak ini," jelas Roslina.
Menurutnya, beliau berupaya memasak dua kilogram belalang yang mampu menghasilkan antara 40 hingga 45 botol sehari dan memakan masa selama tiga jam untuk siap tidak termasuk proses membungkus.
Roslina berkata, belalang goreng kerutuk dijual pada harga RM15 sebotol manakala goreng kunyit pula dijual dengan harga RM13 sebotol.
Bagi penggemarnya, Nor Fizrah Mustapha, makanan tradisional ini akan sentiasa dihidangkan di rumahnya pada hari raya.
"Ia sedap lah kalau kita makan perisa kerutuk itu, rasa lemak-lemak bila kita makan dengan ketupat itu, memang sedap lah kalau goreng kunyit itu kita makan dengan nasi, buat hidangan sampingan lah, macam sambal, macam itu lah," ujar Nor Fizrah.
Masakan tradisional warisan keluarga ini mempunyai penggemar dan mendapat permintaan tinggi bukan sahaja dari negeri Kelantan malah sehingga ke negeri Sabah dan Sarawak dan menerusi perniagaan belalang goreng ini, ia juga mampu membuka peluang pekerjaan kepada suri rumah yang lain.
Laporan Noralia Ramlee.