KANGAR, 16 April- Sebanyak 22 buah rumah rosak dalam kejadian ribut yang melanda Perlis petang tadi.
Kejadian pada pukul 3.30 petang itu menyebabkan bumbung rumah diterbangkan selain struktur binaan runtuh.
Kangar dan Simpang Empat merupakan kawasan paling teruk terjejas akibat bencana itu.
Kerosakan membabitkan 16 buah rumah di Seriab, dua di Long Boh, serta masing-masing satu di Sungai Bugis, Binjal, Kampung Che Ok dan Tambun Tulang.
(Keadaan bumbung rumah penduduk yang rosak akibat ribut)
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor, pihaknya telah bergegas ke lokasi sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian.
Ia bagi menyelaras dan mendapatkan anggaran sebenar kerosakan serta jumlah rumah terlibat.
"Bagi yang mengalami kerosakan kecil, bantuan membaiki kediaman akan diselaras oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), manakala bagi kerosakan besar akan diselaras oleh MAIPs.
Pihak MAIPs menyeru mangsa yang belum membuat laporan polis agar segera berbuat demikian serta memaklumkan kepada wakil MAIPs di kariah iaitu amil atau Pengurusan Jawatankuasa Kariah Masjid bagi tindakan segera," katanya.