KAJANG, 24 September - Sekolah Kebangsaan Sungai Ramal Dalam menerima peruntukan RM100,000 selepas terpilih sebagai Sekolah Angkat Malaysia MADANI di bawah Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM).
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, peruntukan itu akan digunakan bagi melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan sekolah.
Beliau menjelaskan, selain sokongan infrastruktur, RTM turut berperanan sebagai rakan strategik dalam memberi inspirasi kepada murid untuk mengenali peluang kerjaya dalam bidang penyiaran dengan lebih dekat.
“Antara usaha kita ialah membawa jurutera, penerbit dan tenaga kepakaran RTM turun ke sekolah untuk berkongsi pengalaman serta memberi inspirasi kepada murid. Mereka juga berpeluang melawat RTM bagi melihat sendiri bagaimana operasi penyiaran dijalankan. Semua ini bertujuan mewujudkan ekosistem pembelajaran yang kondusif dan menyeronokkan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Sekolah Angkat Madani bersempena Program Road To Madani Berbudi: Sahsiah Expert 2025 di Kajang, hari ini.
Selain itu, RTM turut memulakan program pengajaran bahasa Inggeris secara komuniti di sekolah berkenaan, sebelum diselaraskan secara formal bersama pihak sekolah.
Antara projek yang dilaksanakan melalui peruntukan itu termasuk Reformasi Pendigitalan SKSRD 2025, Program Robotik Cendekiawan, Kelestarian Urban Kit, naik taraf bilik kesihatan, bilik guru dengan pendingin hawa baharu, program keceriaan sekolah serta latihan peningkatan profesionalisme guru.
Datuk Suhaimi menegaskan, usaha berkenaan bukan sahaja membina ekosistem pembelajaran yang kondusif, malah membuka wawasan murid bahawa masa depan mereka penuh dengan pilihan kerjaya.
Guru Besar SK Sungai Ramal Dalam, Mohamad Azinin Ramli berkata, peruntukan RM100,000 itu akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk pembangunan sekolah.
“Sebahagian besar peruntukan akan digunakan bagi pendigitalan kelas dengan pemasangan smart board TV. Selain itu, tumpuan turut diberikan kepada bidang STEM khususnya robotik, supaya murid dapat didedahkan kepada teknologi dan inovasi sejak di bangku sekolah,” katanya.