fb fb fb fb fb

Malaysia tekankan keselamatan kerjasama di rantau Indo-Pasifik

FOTO FACEBOOK Adly Zahari

KUALA LUMPUR, 24 September- Malaysia komited memainkan peranan aktif dalam menjamin keamanan dan keselamatan rantau Indo-Pasifik melalui misi pengaman, bantuan bencana serta kerjasama ketenteraan di bawah pelbagai platform antarabangsa.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pendekatan pertahanan dan keselamatan negara berteraskan keseimbangan antara diplomasi dan pencegahan, pemodenan dan kesiapsiagaan, serta keutamaan nasional dan tanggungjawab serantau.

"Bagi Malaysia, keselamatan secara kerjasama adalah satu-satunya jalan yang mampan ke hadapan. Tentera Darat Malaysia terus menyumbang melalui operasi pengaman, bantuan bencana, serta latihan di bawah pelbagai platform dua hala dan pelbagai hala termasuk ASEAN dan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN Plus (ADMM-Plus)," katanya ketika merasmikan Persidangan Panglima Tentera Darat Indo-Pasifik (IPACC) ke-14, Seminar Pengurusan Tentera Darat Indo-Pasifik (IPAMS) ke-49 dan Forum Pemimpin Kanan Tentera Darat 2025 (SELF 2025) ke-11 di ibu negara, hari ini.

Beliau menegaskan, pelaburan terhadap pembangunan modal insan dalam Angkatan Tentera Darat akan terus diberi keutamaan kerana profesionalisme, disiplin dan kepimpinan anggota merupakan teras kekuatan ketenteraan negara.

Adly turut menyatakan keyakinan bahawa kerjasama serantau yang dibina melalui platform IPACC, IPAMS dan SELF mampu menjadi pemangkin transformasi ketenteraan darat serantau, sekali gus menjamin keamanan jangka panjang Indo-Pasifik.

Katanya, pendekatan keselamatan secara kerjasama yang diterajui Malaysia memberi mesej jelas bahawa hanya melalui sinergi dan kepercayaan bersama, negara-negara di rantau ini dapat menghadapi cabaran keselamatan moden termasuk ancaman peperangan hibrid, bencana alam dan isu kemanusiaan.

SITI AISHAH BINTI MD ISA