KUALA LUMPUR, 24 September- Hubungan ASEAN-China terus berkembang pesat, dipacu ikatan ekonomi kukuh, hubungan antara rakyat serta kepercayaan bersama.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, China kekal sebagai rakan dagang terbesar ASEAN, manakala ASEAN juga muncul sebagai rakan dagang utama China dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Jelas beliau, pada tahun 2024, jumlah perdagangan ASEAN-China mencecah 772.2 bilion dolar Amerika.
"ASEAN kekal komited untuk terus memperkukuh hubungan ini melalui pelaksanaan berkesan perjanjian utama seperti Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA), Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) serta rangka kerja kerjasama serantau penting yang lain," katanya pada Mesyuarat Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) bersama Kementerian Perdagangan China (MOFCOM) hari ini.
Tambahnya, dalam suasana global yang semakin kompleks, penting bagi ASEAN dan China mengekalkan prinsip keterbukaan, inklusiviti dan multilateralisme bagi memastikan kerjasama kekal relevan, berdaya tahan serta berpandangan jauh.
Beliau turut mengimbas pertemuan khas AEM-MOFCOM pada Mei lalu yang menegaskan komitmen kedua-dua pihak menangani isu perdagangan serta menyelesaikan perbezaan melalui rundingan berasaskan kesaksamaan, saling menghormati dan manfaat bersama.
Mesyuarat berkenaan bersepakat memperkukuh kerjasama perdagangan dan ekonomi ASEAN-China bagi menghadapi ketidaktentuan serta gangguan rantaian bekalan, sekali gus memberi manfaat bermakna kepada rakyat dan menyumbang kepada kestabilan serantau dan global.
Mesyuarat kali ini turut menyaksikan ucapan Timbalan Menteri Perdagangan China, Yan Dong.