DILI, 24 September -Malaysia meneruskan kesinambungan menyokong kestabilan Timor-Leste.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad atas sokongan berterusan ke arah penyertaan Timor- Leste selaku anggota ASEAN.
Berucap di Dewan Parlimen di sini Datuk Seri Anwar berkata, usaha itu telah digerakkan pemimpin terdahulu sebelum Timor-Leste mencapai kemerdekaan pada 2002.
Jelasnya, Tun Mahathir telah mempamerkan kesungguhan mengenai keanggotaan Timor-Leste dalam blok serantau sejak sekian lama dan kini tugas itu digalas untuk memastikan ia direalisasikan.
Terdahulu, ketibaan Perdana Menteri disambut Presiden Parlimen, Maria Fernanda Lay.
Dalam rangka lawatan hari ini, Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatan, Kay Rala Xanana Gusmao di Istana Kerajaan.
Satu sidang media bersama kedua-dua pemimpin juga dijadual berlangsung dan akan disiarkan secara langsung di RTM pukul 1.30 petang ini.
Lawatan dua hari Datuk Seri Anwar dibuat atas undangan Perdana Menteri Timor-Leste bagi menyokong hasrat negara itu menyertai ASEAN.