KUALA LUMPUR, 24 September- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menolak dakwaan yang dikeluarkan oleh bekas penganalisis kewangan keganasan di Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Jonathan Schanzer yang mengatakan Malaysia dijadikan pangkalan kepimpinan Hamas.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menegaskan sokongan rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin adalah berasaskan agama dan kemanusiaan, namun tidak boleh ditafsir sebagai penglibatan dengan kumpulan berkenaan.
"Perjuangan di Palestin dekat di hati rakyat Malaysia dan kita sering menyalurkan bantuan berterusan melalui saluran sah. Mungkin keprihatinan ini disalah tafsir oleh pihak tertentu.
"Bagaimanapun, Malaysia mempunyai hubungan baik dengan Amerika dan negara lain serta sentiasa berkongsi maklumat keselamatan melalui friendly services," katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.
Beliau menambah, Malaysia mempunyai rekod kerjasama erat dengan pelbagai negara dalam aspek keselamatan termasuk perkongsian maklumat risikan dan hubungan baik dengan rakan antarabangsa membuktikan tuduhan tersebut adalah tidak berasas sama sekali.
Dalam masa sama, beliau menegaskan kawalan keselamatan negara terkawal hasil kerjasama PDRM bersama agensi utama termasuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKSEM).
Kerjasama rentas sempadan bersama negara jiran juga diperkukuh dalam usaha mengekang pemerdagangan dadah, senjata dan jenayah rentas sempadan.