KUALA LUMPUR, 24 September -Penurunan harga petrol RON95 daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bawah inisiatif Budi MADANI RON95 (BUDI95) memberi penjimatan RM0.06 seliter kepada rakyat, sekali gus membantu meringankan beban perbelanjaan harian.
Ketua Jabatan Perakaunan dan Kewangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof. Madya Dr Mohd Faizal Basri berkata, langkah itu memberi ruang kepada rakyat menikmati penjimatan yang boleh digunakan untuk kegunaan rutin harian yang lain.
"Jadi, dengan penurunan harga RON95 daripada RM2.05 kepada RM1.99, ia boleh memberi penjimatan sekitar RM18 sebulan bagi setiap warganegara berumur 18 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu aktif. Sedikit sebanyak bagi tempoh jangka masa panjang, ini sekali gus membantu rakyat mempunyai lebihan wang untuk kegunaan harian yang lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di TV1, di sini.
Mengulas implikasi kepada kerajaan Prof. Madya Dr Mohd Faizal menjelaskan, pelaksanaan rasionalisasi subsidi menerusi BUDI95 yang dihadkan kepada warganegara dapat mengurangkan kos tanggungan kerajaan.
Perbelanjaan juga boleh diagihkan semula kepada sektor penting seperti pendidikan dan kesihatan yang sekali gus, membantu mengurangkan defisit bajet negara.
"Apabila subsidi diagihkan hanya kepada warganegara, kerajaan dapat menjimatkan perbelanjaan dan penjimatan itu boleh diagihkan semula kepada sektor penting seperti pendidikan dan kesihatan. Langkah ini membolehkan kerajaan menjimatkan kos yang boleh disalurkan semula kepada sektor pembangunan. Secara keseluruhan, penjimatan ini memberi ruang kepada kerajaan menentukan keutamaan agihan bajet pada masa hadapan," ujarnya.
Dalam pada itu, menyentuh cadangan penambahbaikan, Prof. Madya Dr Mohd Faizal menyifatkan had penggunaan 300 liter sebulan bagi setiap individu sebagai adil kerana memberi manfaat sama rata kepada segenap lapisan masyarakat.
"Langkah awal ini baik dan adil kerana semua golongan termasuk T20, M40 dan B40 menikmati harga sama. Namun, untuk segelintir kumpulan seperti peniaga kecil yang memerlukan lebih daripada 300 liter, kerajaan boleh menilai semula dasar ini selepas enam bulan, berdasarkan maklum balas dan data penggunaan rakyat," katanya lagi.