fb fb fb fb fb

Timbalan Pendakwa Raya SPRM positif dadah ditahan polis - IGP

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail

KUALA LUMPUR, 24 September – Seorang Timbalan Pendakwa Raya (TPR) yang baharu melapor diri di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditahan polis selepas ujian air kencing mendapati individu terbabit positif dadah.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mengesahkan penahanan itu susulan laporan polis yang diterima dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Kita ada buat tangkapan berdasarkan laporan polis yang dia buat. Tangkapan itu berkait pemilikan dadah serta positif air kencing. Kita sedang menyiasat perkara ini,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

SPRM dalam kenyataan hari ini mengesahkan penahanan pegawai itu di rumahnya selepas dipercayai memiliki bahan terlarang.

Pemeriksaan lanjut turut menemui bahan berkenaan di lokasi tangkapan.

“SPRM menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut dan memberi jaminan akan memberikan kerjasama sepenuhnya,” katanya.

Suruhanjaya itu juga menegaskan tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku atau perbuatan jenayah membabitkan pegawai serta kakitangannya.

“SPRM komited memastikan integriti serta tadbir urus organisasi sentiasa dipelihara,” katanya

BERITA BERKAITAN

GRACE AISYAH KEDAYAN