fb fb fb fb fb

Lawatan kerja ke China perlu berorientasikan hasil - TPM Zahid

FOTO PEJABAT TPM

SHANGHAI, 5 November - Setiap pertemuan dengan rakan strategik di China perlu diterjemahkan kepada keberhasilan, nilai dan peluang baharu yang memberi manfaat langsung kepada rakyat Malaysia. 

Ini terutama terhadap rantaian nilai industri halal, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), serta kerjasama teknologi dan inovasi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan lawatan kerja ke China kali ini perlu berorientasikan hasil, bukan sekadar lawatan kerja semata-mata. 

“Saya memulakan hari ini di Pudong, Shanghai dengan mempengerusikan sesi pre-council (pramajlis) bersama delegasi Malaysia bagi meneliti setiap agenda dan rangka lawatan agar berjalan lancar dan mencapai objektif yang disasarkan.

“Doakan agar segala urusan kami di sini dipermudahkan dan memberi manfaat besar kepada rakyat serta memperkukuh kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa. Insya-Allah,” katanya.

Terdahulu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid mempengerusikan pramajlis bersama delegasi Malaysia di Shanghai, sebelum menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan Shanghai Jiao Tong University (SJTU).

Beliau kemudiannya dijadual menghadiri Majlis Perasmian Pusat Informasi CIDBH.

Untuk rekod, Malaysia dan China telah menjalinkan hubungan diplomatik sejak 31 Mei 1974.

China merupakan rakan dagang Malaysia yang terbesar untuk 16 tahun berturut-turut sejak dari 2009. 

Nilai dagangan antara Malaysia dan China adalah RM484.12 bilion pada tahun 2024, yang menyumbang kepada 16.8 peratus nilai perdagangan global Malaysia, RM2.879 trilion.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM