SHAH ALAM, 25 November - Sekolah Kebangsaan (SK) Shah Alam, Seksyen 16 hari ini memulakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) selepas sekolah itu diaktifkan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) ekoran banjir yang melanda Padang Jawa sejak semalam.
Guru Besar SK Seksyen 16, Hamidah Shamsudin berkata, sekolah satu sesi pada sebelah pagi dengan 826 murid dan 56 guru itu mengikuti kaedah PDPR sehingga dimaklumkan kelak.
"Keputusan itu dibuat selepas seluruh bilik darjah dan kemudahan sekolah digunakan sepenuhnya untuk menempatkan penduduk terjejas banjir.
"Semua kelas, termasuk bilik khas, digunakan bagi pemindahan mangsa. Jadi pihak sekolah mengambil pendekatan menjalankan PDPR serta-merta.
"Guru-guru tetap hadir ke sekolah untuk menyediakan bahan pembelajaran dan memastikan proses pengajaran berjalan dengan lebih berkesan," katanya ketika ditemui pemberita di SK Shah Alam di sini.
PPS SK Seksyen 16 kini menempatkan 65 keluarga melibatkan 253 individu, menjadikan ini kali keempat sekolah tersebut diaktifkan sebagai pusat pemindahan banjir.
Pemindahan penduduk terjejas bermula sekitar 3.30 petang semalam, dengan enam anggota Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bertugas menguruskan keperluan mangsa di lokasi.
Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat Shah Alam, Nordiana Mohd Yunos, selain SK Seksyen 16, Sekolah Rendah Agama Seksyen 16 turut dijadikan pusat penempatan tambahan untuk penduduk terjejas banjir.
Ketua Kampung Padang Jawa, Abd Halim Hassan, berkata tindakan pantas pihak sekolah dan agensi berkaitan membantu memindahkan penduduk yang terjejas telah berjaya mengurangkan risiko keselamatan.
Pihak sekolah memaklumkan sebarang perkembangan berkaitan pembukaan semula sekolah dan status PPS akan dikemas kini dari semasa ke semasa.