PUTRAJAYA, 25 November- Bermula tahun depan, semua permohonan lesen baharu serta pembaharuan lesen perkhidmatan pengurusan sisa pepejal serta pembersihan awam diwajibkan menghadiri Kursus Intelektual Pengurusan Sisa Pepejal (SOSMIC).
Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, langkah tersebut sebahagian daripada reformasi pengurusan sisa pepejal negara bagi meningkatkan profesionalisme, disiplin dan standard industri, setanding dengan keperluan masa depan negara.
"Industri pengurusan sisa kini memerlukan tenaga profesional, analitis dan berfikir, SOSMIC dilihat sebagai langkah pertama ke arah transformasi sektor ini," katanya dalam ucapan rasmi yang dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Dr. M. Noor Azman Taib di sini hari ini.
SOSMIC yang kali pertama dilaksanakan secara komprehensif oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dengan kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan I-KPKT.
Ia merangkumi lima modul teras meliputi latar belakang pengurusan sisa pepejal, perundangan, asas teknikal, tatacara permohonan lesen melalui sistem i-Lesen serta amalan terbaik pemegang lesen dan dijangka melatih 20,000 peserta dalam tempoh lima tahun pertama dengan bimbingan pakar SWCorp.
Inisiatif ini turut memberi tumpuan kepada peningkatan profesionalisme pemegang lesen, pemahaman perundangan dan pengukuhan standard industri selaras Akta 672.
"SOSMIC dijangka menyumbang secara langsung kepada pencapaian matlamat KPKT menjadi kementerian berprestasi tinggi dan berorientasikan keberhasilan demi kesejahteraan rakyat. Melalui semangat stronger together, konsep Trio Model melibatkan JPSPN, SWCorp dan I-KPKT turut diwujudkan," tambah beliau.
Datuk M Noor Azman turut memaklumkan; setakat 24,003 operasi menangani sampah haram telah dijalankan, termasuk 3,634 operasi tahun ini, melibatkan pembersihan 1,530 tan sisa pepejal dengan kos lebih RM406,000.