fb fb fb fb fb

PM beri sokongan moral kepada calon SPM 2025

Tangkap layar kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi X

KUALA LUMPUR, 25 November - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan sokongan moral kepada semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memulakan peperiksaan itu di seluruh negara termasuk lapan negeri yang sedang dilanda banjir.

Beliau menerusi hantaran X, mahu semua calon menghadapi peperiksaan SPM sehingga 23 Disember ini dengan tenang dan yakin pada kemampuan diri.

"Semoga usaha, doa dan ketabahan kalian membuka pintu kejayaan yang lebih besar untuk masa depan.

"Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan (KPM) dan pihak-pihak berkaitan telah bersiapsiaga bagi memastikan setiap calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat, tersusun dan terjaga," menurut hantaran itu.

Seramai 413,372 calon menduduki SPM 2025, meliputi calon sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah agama bantuan kerajaan termasuk Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Maktab Tentera Diraja, sekolah menengah agama negeri, sekolah swasta berdaftar dengan Kementerian Pendidikan, sekolah menengah agama rakyat dan calon persendirian menduduki peperiksaan SPM 2025 hari ini.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan mekanisme lengkap untuk memastikan calon tetap dapat menduduki peperiksaan dengan selamat termasuk pengaktifan Op Payung.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI