fb fb fb fb fb

KKM pantau kesihatan penduduk terjejas banjir, 629 individu diperiksa di PPS

Seramai 629 penduduk terjejas banjir telah diperiksa oleh pasukan perubatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara/Foto arkib/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 November — Seramai 629 penduduk terjejas banjir telah diperiksa oleh pasukan perubatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata hasil pemeriksaan mengesan 78 kes jangkitan saluran pernafasan akut (AKI), 16 kes jangkitan kulit, dua kes gastroenteritis (AGE) dan satu kes konjunktivitis dalam kalangan penduduk terjejas.

“Tiada mangsa dirujuk ke hospital dan tiada wabak dikesan. Pemantauan dan pemeriksaan akan diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kesihatan Malaysia (MIH) Megatrends 2025 di sini, hari ini.

2511 DR DZULKEFLY BANJIR 2Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad/RTM

Dr. Dzulkefly turut memaklumkan sembilan fasiliti kesihatan terjejas akibat banjir, melibatkan negeri Kelantan, Perak dan Perlis. Daripada jumlah itu, Kelantan mencatat tiga fasiliti terjejas, Perak empat dan Perlis dua.

Fasiliti tersebut merangkumi tujuh Klinik Desa (KD), satu Klinik Kesihatan (KK) dan satu fasiliti fisioterapi.

“Sebanyak lapan fasiliti tidak beroperasi buat sementara waktu, namun perkhidmatannya dialihkan ke fasiliti kesihatan terdekat yang tidak terjejas. Satu fasiliti masih beroperasi,” jelasnya.

Selain itu, sebanyak 48 Pasukan Perubatan Kecemasan (EMT) membabitkan 16 Rapid Response Team (RRT) Perubatan dan 32 RRT Kesihatan telah digerakkan ke PPS bagi menyediakan rawatan serta memastikan langkah pencegahan penyakit dilaksanakan.

Dalam pada itu, Bilik Gerakan Banjir CPRC Kelantan telah diaktifkan pada 23 November, diikuti CPRC Perak dan CPRC Kedah pada 24 November bagi menyelaras keperluan daerah yang terjejas.

“Bagi Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Perlis, Pulau Pinang dan Selangor, bilik gerakan tidak diaktifkan buat masa ini memandangkan situasi masih terkawal,” tambah Dr. Dzulkefly. 

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN