KUALA LUMPUR, 25 November - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Jabatan Perikanan Malaysia telah melaksanakan 31 siri program pemburuan ikan asing sejak tahun 2022.
Menerusi program itu, sebanyak 8.8 tan metrik ikan asing berjaya dikeluarkan dari perairan tempatan yang mendapat kerjasama agensi badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia bertujuan untuk mengawal kesan kemasukan ikan asing invasif termasuk ikan bandaraya, keli afrika dan baung ekor merah di perairan sungai seperti Sungai Pahang, Sungai Kinta serta Sungai Langat.
"Sebanyak 101 siri inventori perikanan darat telah dilaksanakan sepanjang Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi memantau biodiversiti serta mengesan kehadiran spesies asing. Usaha ini turut diperkukuh melalui program kesedaran kepada orang ramai, kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO), pemburu ikan asing, serta penyediaan saluran aduan termasuk MYFirst yang diperkenalkan oleh Jabatan Perikanan.
"Bagi memulihkan keseimbangan ekosistem, sebanyak 53 juta ekor ikan asli pelbagai spesies telah dilepaskan ke perairan umum sepanjang tempoh RMK12. Dari aspek perundangan, Jabatan Perikanan bersama Kerajaan Negeri kini dalam proses mengemas kini Kaedah-Kaedah Perikanan Sungai bagi memasukkan larangan pelepasan ikan asing, yang memperuntukkan denda sehingga RM20,000," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr. Haji Alias Razak berkenaan keberkesanan langkah-langkah yang telah dilaksanakan KPKM bagi mengawal serta membendung pembiakan dan penyebaran spesies ikan perosak yang mengganggu ekosistem ikan air tawar tempatan termasuk di sungai, tasik dan kolam penternakan.
Pada tahun lepas, sektor perikanan darat negara mencatatkan pendaratan 9,653 tan metrik bernilai RM191 juta berbanding 9,434 tan metrik tahun sebelumnya.
Peningkatan itu merupakan hasil pelaksanaan kawalan serta pembendungan pembiakan dan penyebaran spesies ikan perosak di sungai, tasik dan kolam penternakan.