fb fb fb fb fb

JBPM Terengganu kenal pasti data pesakit terlantar, rentan sedia hadapi banjir

Foto hiasan

BESUT, 25 November - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu sedang mengenal pasti data pesakit terlantar dan golongan rentan yang tinggal di kawasan terjejas banjir.

Timbalan Pengarah JBPM Terengganu Penguasa Kanan Bomba 1, Shahrin Yusma Mat Yusof berkata, ia bagi memastikan mereka dapat dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) sebelum situasi bertambah buruk.

Ketika ini pihaknya sedang mengumpul data berkaitan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Ketua Komuniti sebelum diagihkan ke semua Balai Bomba seluruh negeri untuk diambil tindakan.

"Ini yang kami pelajari daripada sesi serta insiden sebelum ini, apabila melibatkan golongan berisiko, ia bukan sahaja memerlukan gerak kerja yang kompleks, tetapi juga tindakan pantas daripada anggota kita.

"Keadaan geografi dan bentuk muka bumi turut berubah, menyebabkan persiapan perlu dibuat lebih awal. Jadi, bagi menghadapi kemungkinan banjir kali ini, kami mengambil langkah proaktif untuk memindahkan mereka ke PPS lebih awal, sama ada ketika banjir berlaku atau sebelum kejadian," katanya.

Beliau ditemui selepas melawat seorang pesara Tentera Mohd Saidi Mohktar 57 tahun yang sakit terlantar di Kampung Tembila Besut di sini.

Pihaknya giat turun padang ke semua daerah bagi memberi informasi dan menyampaikan maklumat berkaitan kepada golongan dikenal pasti.

Dalam pada itu beliau menyeru masyarakat di seluruh Terengganu tidak melakukan sebarang aktiviti di air serta tidak menghampiri kawasan pesisir pantai terutama ketika ombak yang bergelora ketika ini.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI