fb fb fb fb fb

Banjir: KPM bersedia, pastikan SPM berjalan lancar

Foto BERNAMA

KENINGAU, 25 November– Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi bagi memastikan semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat dan teratur, walaupun terjejas akibat banjir.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, berkata kementerian tidak akan membiarkan mana-mana calon tercicir hanya kerana berdepan bencana seperti banjir, tanah runtuh atau fenomena cuaca ekstrem.

“Kehadiran anak-anak kita menjadi keutamaan untuk memastikan SPM berjalan lancar. Seramai lebih kurang 413,000 pelajar di seluruh negara akan menduduki peperiksaan bermula hari ini.

“Ada sedikit cabaran di beberapa negeri kerana banjir, tetapi semua persiapan berjalan lancar dengan kerjasama semua agensi terlibat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau perjalanan hari pertama SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keningau, hari ini.

Fadhlina berkata kementerian telah mengambil langkah segera dengan menyediakan pusat peperiksaan alternatif, pengangkutan khas serta penempatan sementara bagi pelajar di kawasan terjejas banjir.

Katanya, KPM melalui Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah turut menjalankan pemantauan rapi terhadap keadaan sekolah bagi memastikan keselamatan bilik peperiksaan.

“Kita juga memastikan kelengkapan seperti meja, kerusi dan bekalan elektrik berada dalam keadaan baik sepanjang peperiksaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin, berkata pihaknya telah melantik warga guru dan sukarelawan bersiap siaga bagi memastikan peperiksaan SPM berjalan lancar sekiranya berlaku bencana.

“Kita telah melantik seramai 3,482 petugas, termasuk 732 sukarelawan. Peratusan sukarelawan memenuhi garis panduan Lembaga Peperiksaan iaitu 21 peratus.

“Peperiksaan SPM kali ini turut melibatkan 232 pelajar berkeperluan khas, dengan semua kemudahan sokongan disediakan bagi memastikan mereka dapat menduduki peperiksaan dengan selesa,” katanya.

Peperiksaan bertulis SPM 2025 bermula hari ini dengan Bahasa Melayu Kertas 1 pada 8.15 pagi, diikuti Pendidikan Seni Visual – Teori Seni Kertas 1 pada 11.45 pagi dan Bahasa Melayu Kertas 2 pada 2.30 petang. -BERNAMA

SITI NOORAIN ABDULLAH