NIBONG TEBAL, 25 November - Seramai 20,060 calon menduduki ujian bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini di Pulau Pinang.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata, tiada sekolah menengah dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) meskipun berdepan banjir bagi memastikan kelancaran peperiksaan itu.
"Di Pulau Pinang, terdapat tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang melibatkan sekolah rendah, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Lahar Yooi, SK Permatang Pasir dan SK Pangkalan Jaya, yang menempatkan penduduk terjejas banjir.
"Pihak Setiausaha Kerajaan Negeri memahami situasi ini dan menggunakan premis sekolah rendah bagi menguruskan mangsa banjir. Oleh itu, tiada isu gangguan atau kacau ganggu berlaku terhadap pelaksanaan peperiksaan di sekolah menengah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jawi, di sini.
Terdapat dua calon dari SMK Pokok Sena yang menduduki ujian di PPS SK Lahar Yooi manakala lima calon lagi direkodkan menduduki peperiksaan SPM di beberapa hospital kerajaan dan swasta.
Terdapat 156 pusat peperiksaan di negeri itu dengan 1,973 petugas peperiksaan terlibat bagi memudahkan pelaksanaan tersebut.