fb fb fb fb fb

SK Kempadang, contoh terbaik kepada sekolah harian di Pahang

KUANTAN, 2 Oktober - Sekolah Kebangsaan Kempadang, di sini yang disenarai pendek antara tiga finalis Anugerah Sekolah Terbaik Dunia dalam kategori Inovasi merupakan contoh terbaik kepada sekolah harian di Pahang.

Sekolah tersebut mempertaruhkan ciptaan aplikasi ‘Smartzoom’, iaitu sistem penjejakan automatik yang mengikuti perkembangan murid dalam pembelajaran menggunakan input daripada ‘Google Sheets dan ‘Google Chrome’.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Mohammad Rosli Abdul Rahman ketika dihubungi berkata idea tercetus semasa tempoh Pandemik COVID-19 apabila Kementerian Pendidikan memgumumkan pemansuhan UPSR dan memperkasakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

Katanya, aplikasi itu memudahkan guru mengumpul data pentaksiran semasa pandemik secara ''one stop centre'' dan ''real time'' walaupun pada ketika itu pembelajaran di rumah (PDPr) dijalankan ketika pandemik COVID-19.

Dengan adanya data tersebut, guru-guru dapat melakukan program intervensi bagi mengelakkan keciciran murid dan memantapkan prestasi murid secara keseluruhan.

(SK Kempadang mempertaruhkan ciptaan aplikasi ‘Smartzoom’ dan disenarai pendek antara tiga finalis
Anugerah Sekolah Terbaik Dunia dalam kategori Inovasi)

Aplikasi tersebut telah menambat hati juri sehingga diumum sebagai tiga finalis tiga teratas daripada 3,000 pencalonan sekolah di seluruh dunia.

Beliau berharap SK Kempadang dapat menewaskan dua lagi sekolah yang disenarai pendek dalam kategori sama iaitu sekolah daripada Chile, Escuela Emilia Lascar dan N High School, Jepun, dan berpeluang memenangi AS$50,000.

Selain pemilihan juri yang ketat, orang awam juga boleh membuat pengundian di laman “World’s Best School Prizes” bermula 22 September hingga hari ini.

Pemenang akan diumumkan di Minggu Pendidikan Dunia yang berlangsung pada 16 hingga 21 Oktober ini.

SK Kempadang sebelum ini telah mendapat tajaan daripada Kerajaan Negeri Pahang melalui Yayasan Pahang bagi menjalankan program Sekolah Amanah sejak tahun 2015 hingga 2021.

Media Baharu