fb fb fb fb fb

Pelan Persediaan Banjir Kawasan Muda diaktifkan, siap siaga hadapi La Nina

ALOR SETAR, 2 Oktober - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah mengaktifkan Pelan Persediaan Banjir Kawasan Muda dan bersiap siaga bagi menghadapi fenomena La Nina yang dijangka berlaku pada penghujung tahun ini.

Bagi menghadapi kemungkinan banjir, pihak MADA sentiasa mengutamakan kepentingan awam serta aktiviti penanaman padi dan menguruskan lebihan air akibat turunan hujan mengikut Tatacara Pengendalian Piawai (Prosedur Operasi Standard (SOP)) yang telah ditetapkan.

Pihak MADA telah bersedia memastikan kesempurnaan fungsi infrastruktur pengairan dan saliran serta memastikan alat kelengkapan dan aset-aset seperti bot, pam dan lain- lain peralatan, jentera berada dalam keadaan baik.

"Berdasarkan Tinjauan Cuaca Bagi Tempoh September 2022 hingga Februari 2023 yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia pada 29 Ogos 2022, kebanyakan model iklim antarabangsa menunjukkan kitaran atmosfera di kawasan tropika konsisten dengan keadaan La Nina.

"Ramalan menunjukkan pada bulan September 2022 hingga Februari 2023, Perlis dan Kedah akan menerima taburan hujan pada paras purata di antara 200 hingga 300 mm di Perlis dan 290 hingga 440 mm di Kedah," kata Ahmad Tarmizi dalam satu kenyataan.

(FOTO RTM)

Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman dalam kenyataan berkata berdasarkan maklumat itu, kawasan Muda berkemungkinan menerima turunan hujan lebat di kawasan tadahan empangan, tadahan sungai dan kawasan sawah.

Turunan hujan ini akan menyebabkan penambahan takungan air di empangan, peningkatan aliran sungai dan kenaikan kedalaman air di kawasan sawah.

Beliau berkata, pihak MADA sentiasa peka dengan cuaca semasa dan berada dalam keadaan siap siaga jika berlakunya banjir sepertimana ramalan cuaca dan amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) serta Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia.

Operasi saliran air banjir adalah melalui infrastruktur utama sedia ada yang melibatkan Sistem Arau, Sistem Lanabulu, Sistem Alor Changleh, Pelubang Barrage serta Tandop Pasang Surut Ampang Jajar.

Melalui perancangan dan persediaan bagi menghadapi banjir ini, Ahmad Tarmizi berharap kerosakan kepada harta awam dan padi dapat diminimumkan dan kesulitan kepada peladang dapat dikurangkan sekiranya banjir melanda Kawasan Muda.

"Sehingga hari ini, kedudukan paras takungan air di Empangan MADA berada dalam keadaan mencukupi iaitu di Empangan Pedu berada pada kadar 859,625 juta meter padu atau 98.27 peratus; Empangan Muda pada kadar 123,950 juta meter padu atau 99.16 peratus; dan Empangan Ahning pada kadar 186,979 juta meter padu atau 83.85 peratus," katanya.

Peladang-peladang di Kawasan Muda (MADA) digalakkan untuk menghubungi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) berdekatan sekiranya terdapat pertanyaan berhubung kait tentang maklumat aduan dan pihak MADA sentiasa bersedia membantu para peladang bagi menjayakan aktiviti penanaman padi di Kawasan Muda.


Media Baharu