KUALA LUMPUR, 15 Disember - Bilangan penduduk terjejas banjir di Kelantan dan Terengganu terus meningkat setakat pukul 8.00 pagi.
Di Terengganu situasi banjir semakin buruk dengan 461 penduduk terjejas banjir daripada 148 keluarga ditempatkan di sembilan PPS di Hulu Terengganu dan Setiu setakat pagi ini.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, di daerah Hulu Terengganu 448 orang daripada 144 keluarga berlindung di tujuh PPS.
"Di PPS Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Kampung Gunung Menerong menempatkan 132 penduduk daripada 30 keluarga; Lubuk Periok (110 penduduk daripada 43 keluarga) dan Kampung Kemat (39 penduduk daripada 14 keluarga)," kata Sekretariat itu.
Selain itu, Kampung Pengkalan Ajal menempatkan 122 penduduk terjejas banjir daripada 48 keluarga; Kampung Pelandan (11 orang daripada tiga keluarga); Kampung Cheting (29 orang daripada lima keluarga) dan Kampung Tok Lawit (lima orang daripada satu keluarga).
Di Setiu yang menjadi daerah terbaharu dilanda banjir sejak semalam dengan dua PPS dibuka iaitu Kampung Besut yang menempatkan lima orang daripada satu keluarga dan Surau Mak Bakas yang melibatkan lapan orang daripada tiga keluarga.
Sementara itu di Kelantan, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, jumlah penduduk terjejas banjir di Tanah Merah dan Kuala Krai meningkat kepada 1,201 orang daripada 336 keluarga berbanding 933 orang daripada 249 keluarga seperti yang direkodkan malam tadi.
Kesemua mereka ditempatkan di PPS di kedua-dua kawasan itu.
"Di Tanah Merah, penduduk terjejas ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kelewek, Balai Raya Padang Kijang, SK Alor Pasir, SK Kulim, Sekolah Menengah Ugama (A) Kajang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Bunga, Madrasah Wak Seman Kampung Air Batu dan SK Gual Jedok," kata portal itu.
Sepuluh PPS dibuka di Kuala Krai melibatkan SMK Kuala Krai, Pejabat Veterinar, SK Banggol Guchil, SK Bedal, SK Chenulang, SK Sungai Embak, Madrasah Kampung Sepuluh, Masjid Chucuh Puteri A, Pusat Komuniti Chuchuh Puteri A dan Madrasah Chuchuh Puteri A.