JOHOR BAHRU, 14 April - Jumlah penduduk terjejas banjir di Johor berkurangan kepada 56 orang selepas satu pusat pemindahan sementara (PPS) di Batu Pahat, ditutup pukul 10.00 pagi tadi.
Kesemua mereka ditempatkan di dua PPS di daerah Segamat.
Menurut maklumat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, PPS yang masih beroperasi ialah Balai Raya Kampung Batu Badak menempatkan 41 penduduk terjejas.
Manakala 15 orang lagi di Dewan Komuniti Kampung Tasek.
Tinjauan RTM di Parit Raja, Batu Pahat pagi tadi menyaksikan usaha dijalankan kerajaan dengan memasang pam hidraulik memberi kesan positif kepada penurunan paras banjir.
"Alhamdulillah yang ada pam ini mempercepatkan aliran air pada pam ini pun dia berkuasa tinggi. Pembuangan aliran air ke saliran yang lebih besar dan lebih cepat lah. Jadi bermakna penggunaan pam ni memang betul-betul membantu," kata penduduk Mohd Adi.
"Sedikit lega sebabnya kalau tidak, jika tidak sebelum ini sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga," kata Mustafa Kamal Shamshuddin.