fb fb fb fb fb

Siti Rohani terajui JBPM Johor

JOHOR BAHRU, 7 Jun- Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor yang baharu, Siti Rohani Nadir akan berusaha menyelesaikan masalah kekurangan 141 anggota bomba di negeri itu.

Ia termasuk isu kekurangan 54 aset jentera pemadam kebakaran di 33 buah balai.

"Isu kekurangan anggota kita tahu, tidak dapat diatasi dalam masa singkat. JBPM Johor merancang mengambil anggota dari semasa ke semasa. Proses perolehan mendapatkan jentera baharu juga sedang dilakukan.

"Kita akan lihat di mana situasi yang kritikal, kita akan cuba atasi secara mana kita boleh buat, bagi memastikan operasi di balai-balai bomba tidak terjejas," katanya.

(Siti Rohani Nadir)

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas memulakan tugas secara rasmi di Ibu Pejabat JBPM, di sini hari ini.

Pelantikan Siti Rohani lakar sejarah

Sementara itu, pelantikan Siti Rohani melakar sejarah apabila menjadi pengarah bomba wanita pertama di Johor.

Pelantikan tersebut bagi mengisi kekosongan sejak hampir setahun, susulan persaraan pengarah sebelum ini, Datuk Yahaya Madis.

"Banyak cabaran yang harus saya lihat satu-persatu dari segi kekuatan di pihak jabatan bomba itu sendiri dan juga bagaimana persiapan kita untuk menghadapi operasi-operasi besar yang mungkin kita hadapi pada masa akan datang," tambahnya.

Media Baharu