fb fb fb fb fb

Dua lelaki mengaku tidak bersalah tuduhan rompak warga emas

(Tertuduh di perkarangan Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini)

IPOH, 7 Jun- Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan melakukan rompakan secara berkumpulan dengan bersenjata di sebuah rumah di Taman Ria, di sini, bulan lalu.

Tertuduh, M.Hari Chandran, 41, dan A.D Lawrence, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan pisau terhadap seorang warga emas, 72, pada pukul 3.00 pagi, 24 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama.

Mahkamah membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Mahkamah turut mensyaratkan kedua-dua tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan serta perlu melapor diri ke balai polis berdekatan sebanyak dua kali sebulan.

Di kamar berasingan, seorang lagi rakan tertuduh, M.Shashipal Singh, 33, didakwa dengan curangnya menyimpan harta curi iaitu sebuah telefon bimbit hasil daripada rompakan tersebut.

Perbuatan itu dilakukan di rumah pangsa Bercham, Lengkok Bercham Timur 2, di sini, pada pukul 3.45 petang, 4 Jun lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan.


(Tertuduh di perkarangan Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini)

Media Baharu