fb fb fb fb fb

Sistem pengairan masa hadapan perlu lebih mampan hadapi krisis iklim

Gambar hiasan/RTM

SERDANG, 25 November – Sistem pengairan dan saliran negara memerlukan pendekatan baharu, bukan sahaja mampan, tetapi adaptif dan berasaskan data masa nyata. Ini kerana cabaran iklim yang kini semakin ekstrem seperti banjir kilat, berisiko memusnahkan harta benda, manakala kemarau boleh menjejaskan produktiviti dan pengeluaran makanan negara.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Alam Sekitar, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd Yusoff Ishak, isu kemampanan sistem pengairan kini perlu dinilai bukan sekadar dari aspek kuantiti air tetapi juga kualiti.

“Lebih 90% daripada air minuman negara bersumberkan sungai dan waima berlakunya pencemaran sungai, kita akan minum air tersebut selepas rawatan. Oleh kerana itu perancangan sistem pengairan perlu mengambil kira kedua-dua aspek iaitu kualiti dan kuantiti,” katanya dalam satu temu bual.

Tambah beliau, pembangunan pesat yang berlaku sejak negara beralih daripada ekonomi berasaskan pertanian kepada ekonomi perindustrian telah menyebabkan aspek pemuliharaan alam sekitar, khususnya sistem saliran, terpinggir.

“Ramai hanya melihat masalah dari aspek banjir tetapi kita juga berdepan cabaran kemarau. Kedua-dua fenomena ini memerlukan pendekatan pengurusan dan adaptasi yang berbeza,” tambahnya.

Dr. Mohd Yusoff berkata, sistem pengurusan saliran yang mampan memerlukan data cuaca dan hidrologi yang terkini dan menyeluruh.

“Walaupun teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) mampu membantu, namun keberkesanannya sangat bergantung kepada ketersediaan pelbagai jenis data tempatan.

“Kita tidak boleh hanya bergantung kepada data lama yang diperoleh semasa zaman penjajahan yang lebih tertumpu kepada kawasan pertanian. Kini, kita perlukan cerapan data baharu yang lebih komprehensif bagi mengenal pasti corak dan pola cuaca tempatan,” katanya.

Beliau turut menyarankan agar wujudnya integrasi antara agensi seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia untuk memastikan data yang dikumpulkan digunakan secara efektif dalam perancangan bandar dan pembangunan infrastruktur.

Justeru, Dr. Mohd Yusoff menggariskan tiga peringkat langkah yang boleh diambil oleh pihak kerajaan bagi menambah baik sistem pengairan negara.

“Antara langkah segera yang boleh dilaksanakan merangkumi penyelenggaraan berkala dan berkesan terhadap infrastruktur sedia ada. Bagi jangka sederhana, penambahbaikan amalan pengurusan dan pembangunan bandar dan luar bandar perlu diberi perhatian.

“Manakala bagi jangka panjang, pelaksanaan cerapan data berskala besar serta penggubalan dasar yang menyokong adaptasi terhadap perubahan iklim adalah penting,” katanya.

Beliau turut menegaskan perlunya penguatkuasaan ke atas pelantikan Pegawai Kawalan Alam Sekitar (EO) dalam setiap projek pembangunan, tanpa mengira saiz kawasan yang dibangunkan.

“EO perlu mempunyai kedudukan yang setara dengan Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH). Ketika ini masih wujud ketidakseragaman perundangan terhadap pelantikan EO,” ujarnya.

Mengulas mengenai konsep “Sponge City” yang semakin popular di luar negara, Dr. Mohd Yusoff berkata Malaysia sebenarnya Malaysia telah melaksanakannya dalam bentuk tasik dan wetland di Putrajaya.

“Wetland ini berfungsi menakung air semasa musim hujan untuk digunakan semula semasa musim kemarau. Ia adalah contoh perancangan mampan yang perlu diperluas ke seluruh negara,” katanya.

Menurut beliau lagi, antara cabaran utama dalam pelaksanaan dasar-dasar berkaitan iklim dan pengairan adalah kelemahan komunikasi antara pihak kerajaan dan rakyat.

“Sebenarnya dasar sudah ada tetapi belum sampai ke peringkat pelaksanaan maka rakyat merasakan kerajaan tidak bertindak. Ini menimbulkan sentimen negatif memandangkan isu perubahan iklim amat terkait sertaboleh memberi kesan kepada kestabilan sosial dan ekonomi negara,” katanya.

Beliau turut merujuk laporan Bank Negara Malaysia yang menganggarkan kerugian sekitar RM2 bilion akibat banjir pada tahun 2022 di pihak kerajaan.

“Namun angka sebenar mungkin jauh lebih besar jika kita ambil kira kehilangan nyawa, produktiviti dan peluang pelaburan,” katanya.

MAT YUNUS BIN SABRI