fb fb fb fb fb

Agrobank tawar moratorium, ringankan beban pelanggan terjejas banjir

Foto Agrobank

KUALA LUMPUR, 25 November - Agrobank menawarkan moratorium selama enam bulan bagi membantu pelanggan sedia ada di seluruh negara yang terkesan akibat bencana banjir yang sedang melanda.

Inisiatif tersebut membolehkan penangguhan bayaran balik pembiayaan bagi pelanggan Agrobank yang layak, sekali gus memberi ruang untuk pelanggan memulihkan perniagaan secara berperingkat.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pihak bank amat memahami cabaran yang dihadapi oleh pelanggan yang terjejas.

''Sebagai sebuah institusi pembangunan yang prihatin, kami komited bukan sahaja dalam membantu pelanggan membangunkan perniagaan, tetapi juga berdiri bersama mereka pada masa-masa mencabar melalui pelbagai bentuk sokongan", katanya menerusi satu kenyataan.

“Mengambil kira keadaan banjir yang semakin membimbangkan ini, mungkin ada pelanggan yang telah mengalami kerosakan harta benda, ladang dan hasil pertanian yang menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Katanya, kejadian tersebut secara langsung menjejaskan pendapatan, kelangsungan perniagaan, malah turut memberi tekanan kepada kehidupan seharian.

“Bagi membolehkan pelanggan yang terjejas menumpukan perhatian kepada pemulihan perniagaan, mereka digalakkan untuk memohon kemudahan moratorium yang disediakan.

''Pegawai kami juga akan menghubungi pelanggan terjejas secara proaktif untuk memberikan pertolongan dan sokongan sepanjang mereka menghadapi situasi mencabar ini,'' katanya.

Maklumat lanjut berkaitan Bantuan Banjir Agrobank, pelanggan boleh menghubungi Pusat Panggilan Agrobank di talian 1-300-88-2476.

Permohonan juga boleh dibuat melalui laman sesawang Agrobank di www.agrobank.com.my atau berkunjung ke mana-mana cawangan Agrobank.

ROSLINA BINTI DIN