fb fb fb fb fb

Sistem MySubsidi Diesel, 'Fleet Card', bermula bulan depan

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali

PELABUHAN KLANG, 9 Januari- Projek rintis bagi menguji Sistem MySubsidi Diesel dan Sistem Fleet Card menerusi enam syarikat pengangkutan barangan akan bermula 1 Februari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata projek rintis itu bagi perluasan pemberian kuota diesel bersubsidi kepada sektor pengangkutan darat (barangan), melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0.

"Ini adalah sektor-sektor di bawah kawal selia KPDN, ada juga diesel di bawah kendalian nelayan contohnya di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM)."

"Jadi, untuk kita sektor awam dan sektor barangan ini adalah bawah tanggungjawab KPDN dan komitmen kita untuk memastikan apa juga keputusan yang dibuat kerajaan nanti. Bila tarikhnya sudah ditetapkan, kita telah bersiap sedia dengan Fleet Card," kata Armizan kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja bagi meninjau persiapan Syarikat Perceptive Logistics untuk pelaksanaan projek rintis itu di Pelabuhan Klang.

Ketika ini, hanya sektor pengangkutan darat (awam) menggunakan saluran Fleet Card manakala sektor pengangkutan barangan (darat), bot penumpang sungai serta feri dan bot ke pulau utama masih menggunakan saluran Skid Tank.

Penggunaan Fleet Card mampu mengurangkan penyelewengan dan penyeludupan minyak diesel bersubsidi memandangkan sistem itu akan dipantau manakala Skid Tank hanya melibatkan pelaporan oleh syarikat terlibat.

Sistem MySubsidi Diesel dan sistem Fleet Card dijangka dilaksanakan pada suku kedua tahun ini.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM