fb fb fb fb fb

Isu persempadanan KL-Selangor, perbincangan akan diadakan - Zaliha

Foto FB Menteri

KUALA LUMPUR, 9 Januari- Pendekatan dan penyelesaian baharu akan dicari bagi mengatasi isu persempadanan kawasan Kuala Lumpur dan Selangor.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berhubung perkara berkenaan selewat-lewatnya hujung bulan ini.

"Di Kuala Lumpur, kita ada lebih kurang 26 kawasan yang berlaku pertindanan antara sempadan Wilayah Persekutuan KL dan Selangor. Kita maklum bahawa Kuala Lumpur asalnya daripada Selangor."

"Jadi, saya telah maklum kepada Menteri Besar Selangor dan saya akan duduk bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Bandar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk kita cari pendekatan terbaik," kata Zaliha kepada pemberita selepas Sesi Temu Rapat bersama Warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di ibu negara.

Antara permasalahan yang timbul daripada isu persempadanan berkenaan adalah aspek pembayaran cukai taksiran dan penyelenggaraan kawasan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) sekali gus menyebabkan kesukaran kepada masyarakat.

Terdahulu, Dr Zaliha menghadiri sesi temu rapat selama 90 minit bersama 218 peserta termasuk wakil Majlis Perwakilan Penduduk untuk mendengar permasalahan dihadapi warga kota.

Antara isu dan persoalan yang dibangkitkan dalam sesi itu ialah pelaksanaan bandar raya pintar, masalah longkang dan saliran, kesesakan lalu lintas serta tempat letak kenderaan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM