fb fb fb fb fb

Sistem kewangan Islam perlu diperkukuh berteraskan maqasid syariah - PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 September – Sistem kewangan Islam perlu terus diperkukuh berlandaskan prinsip maqasid syariah agar dapat berperanan sebagai alternatif yang adil, inklusif dan mampan kepada sistem kewangan konvensional.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kewangan Islam tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai sistem yang bebas daripada riba, sebaliknya perlu menjadi sebahagian daripada kerangka ekonomi yang menegakkan keadilan sosial, nilai belas ihsan, serta penyertaan yang menyeluruh.

“Ukuran kejayaan sebenar kewangan Islam bukanlah pada saiz aset semata-mata, tetapi pada kehidupan yang berjaya diubah dan masa depan yang lebih terjamin,” katanya.ketika berucap pada majlis Anugerah Kewangan Islam Global (GIFA) 2025 di sini.

Pada majlis itu, Datuk Seri Anwar turut menerima Anugerah Kepimpinan GIFA 2025 sebagai pengiktirafan kepada sumbangan beliau dalam memperkukuh industri kewangan Islam di peringkat antarabangsa.

Tambah Datuk Seri Anwar, Malaysia akan terus melabur dalam pembangunan bakat, kecemerlangan kawal selia dan inovasi, selain memperkukuh instrumen seperti sukuk hijau, platform digital, zakat dan wakaf bagi memperluas keterangkuman kewangan.

Beliau turut menekankan bahawa peranan kewangan Islam harus lebih besar dalam menangani isu kemiskinan, ketidaksamarataan dan peminggiran, yang lebih serius di dunia Islam berbanding rantau lain.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM