fb fb fb fb fb

Sistem KEJARA akan dirombak secara besar-besaran

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. -Foto FB MOT

SHAH ALAM, 13 Jun- Sistem Mata Demerit bagi Kesalahan Trafik (Kejara akan dirombak secara besar-besaran dalam masa terdekat, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau mengakui, sistem sedia ada tidak berkesan dan dianggap gagal, memandangkan pengurangan mata demerit hanya dilakukan selepas pesalah trafik menjelaskan saman atau didakwa di mahkamah, bukan sewaktu saman dikeluarkan.

"Sebagai Menteri Pengangkutan, saya akui sistem Kejara telah gagal kerana pendekatan kita sebelum ini adalah tidak tepat," katanya.

"Justeru, saya percaya sistem ini perlu diberi nafas baharu dengan segera, dan pihak kementerian sedang meneliti pendekatan baharu untuk pelaksanaannya," ujar beliau pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelaksanaan Penggunaan Speed Limitation Device (SLD) Bagi Kenderaan Perdagaan di Scania (Malaysia) Sdn. Bhd, Shah Alam, Selangor.

Sistem Kejara adalah satu mekanisme yang mengenakan mata demerit kepada pemandu yang melakukan kesalahan tertentu bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta peraturan berkaitan.

Sebanyak 20 kesalahan trafik yang dikenal pasti berpotensi tinggi menyebabkan kemalangan serius atau maut serta membahayakan pengguna jalan raya lain telah disenaraikan dalam pelaksanaan sistem tersebut.

SITI NOORAIN ABDULLAH