KUALA LUMPUR, 13 Jun- Pengadaptasian Kecerdasan Buatan (AI) akan memudahkan pengamal media menghasilkan laporan berita dengan lebih cepat dan berkualiti.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman bagaimanapun berkata, ia mestilah digunakan dengan penuh rasa tanggungjawab selari dengan etika kewartawanan.
"Kita boleh menggunakan teknologi untuk tujuan kebaikan dan keburukan tetapi kita di Radio Televisyen Malaysia (RTM) kena menentukan segala kebaikan itu akan terhasil dengan menggunakan teknologi yang baik ini untuk menentukan rakyat dapat informasi yang betul.
"Bagaimana mereka menggunakan informasi itu menjadikan kehidupan mereka lebih bermakna. Dengan informasi itu menjadikan kita sebuah bangsa yang hebat," katanya ketika ditemui selepas menghadiri edisi khas Selamat Pagi Malaysia (SPM) x Apa Khabar Malaysia (AKM) di ibu negara.
Dalam pada itu, Datuk Suhaimi turut mengesyorkan pengamal media untuk terus menimba ilmu baharu agar penyampaian berita selari dengan kehendak masyarakat.
"Dulu berita kita satu jam tapi sekarang 15 minit kemudian 5minit, 1minit kerana orang mahu cerita yang pantas, cepat dan padat. Jadi kita kena faham apa saya maksudkan dengan ilmu itu bahawa siapa yang akan terima hasil kita siapa nak dengar berita kita. Kalau kita hasilkan berita sama macam dulu org dah lama berubah, jadi kita tak relevan. Kena tambah ilmu kita untuk faham perubahan sekeliling kita penonton dan pendengar," katanya lagi.
Edisi khas SPM x AKM merupakan kerjasama kali kedua RTM dan BERNAMA bersempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 dengan tema "Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika".