fb fb fb fb fb

Seorang maut, dua cedera nahas dua kenderaan di Machang

Seorang maut, dua cedera nahas dua kenderaan di Machang / Foto RTM

MACHANG, 14 Jun – Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Machang–Kuala Krai, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Samad, lewat malam tadi.

Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Machang, PBK II Mohd Suhaimi Razali, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui sistem MERS999 sebelum bergegas ke lokasi kejadian sejauh kira-kira 12 kilometer.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi pada pukul 12.43 tengah malam, didapati berlaku kemalangan membabitkan dua buah kenderaan dari arah bertentangan. Seorang pemandu didapati tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dua lagi mangsa yang berada di dalam sebuah lagi kereta turut tersepit dan mengalami kecederaan, namun berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas penyelamat.

Mangsa yang cedera telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut, manakala jenazah mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN