KUALA LUMPUR, 14 Jun - Kerajaan mengumumkan pengecualian levi pendidikan untuk tujuan latihan kepada semua institusi pendidikan swasta selama setahun mulai 1 Januari 2026.
Pengecualian itu membabitkan institusi pendidikan pra-sekolah, sekolah rendah, menengah, vokasional serta pusat latihan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif tersebut bagi membolehkan institusi terlibat memberi tumpuan meningkatkan mutu pendidikan dan latihan.
"Saya sudah minta Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan dan Kementerian Sumber Manusia untuk memantau supaya semua institusi pendidikan ini dapat memberi yang terbaik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada merasmikan Majlis Pembukaan Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025 di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.
Turut dihadir, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.
NTW ialah inisiatif tahunan yang membuka akses peluang pembelajaran dan latihan percuma kepada semua individu tanpa mengira umur, latar belakang atau tahap pendidikan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menyifatkan merombak kaedah latihan bagi industri berkemahiran rendah dan pertengahan wajar agar selari dengan keperluan semasa termasuk bidang-bidang baharu.
Beliau berkata, perubahan itu penting berikutan negara kini menjadi hab utama rantau ASEAN bagisektor semikonduktor dengan hampir hampir semua syarikat semikonduktor terbesar dan AI itu berpangkalan di Malaysia.
Katanya, langkah itu dijangka memperkukuhkan lagi daya saing tenaga kerja negara.
"Ini akan hanya berhasil kalau jenis latihan apa yang disebut 'upskilling' dan 'reskilling' itu diberi penekanan. Anak-anak di sekolah harus diberikan pengetahuan yang lebih mendalam tentang AI. Kalau tidak, akan ada kelompongan atau 'gap' di antara memenuhi keperluan semasa," katanya.