BRICKFIELDS, 14 Jun – Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas disyaki ditembak dalam kejadian di sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 malam itu, ketiga-tiga mangsa yang merupakan warga tempatan berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun, sedang menjamu selera di restoran tersebut bersama beberapa rakan sebelum dihampiri dua lelaki bermotosikal yang dipercayai telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah mereka.
Seorang daripada mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat terkena tembakan, manakala dua lagi sedang menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Difahamkan seorang daripada mangsa mengalami kecederaan serius dan seorang lagi hanya cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti suspek terlibat serta motif serangan.
"Pihak polis sedang menyiasat dari segala aspek. Kita masih mengkaji dan dalam proses mengumpul lebih banyak bukti serta maklumat yang ada untuk mengetahui motif serangan," katanya ketika ditemui pemberita lokasi kejadian.
Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.