SINTOK, 14 Jun – Tabung Kilat Kemalangan anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya mengumpul lebih RM290,000 bagi membantu pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam kemalangan tragik membabitkan sebuah bas di Jalan Jeli-Gerik, berhampiran Tasik Banding, Perak, Isnin lalu.
Yang Dipertua MPP UUM, Mohamad Amar Aidid Mohd Zain berkata sebanyak RM290,651.51 berjaya dikumpulkan dalam tempoh empat hari sejak tabung itu dilancarkan pada hari kejadian dan ditutup pada tengah hari semalam.
Seramai 18,927 penyumbang terdiri daripada warga UUM dan orang ramai telah tampil menghulurkan sumbangan.
“Jumlah yang diperoleh ini mencerminkan semangat solidariti dan kebersamaan yang cukup luar biasa, khususnya dalam saat duka dan mencabar,” katanya ketika dihubungi RTM hari ini.
Mohamad Amar memaklumkan, keseluruhan jumlah kutipan akan diserahkan kepada MPP UPSI dalam masa terdekat.
Kaedah pengagihan sumbangan kepada mangsa yang terlibat akan ditentukan sepenuhnya oleh pihak MPP UPSI.
Dalam pada itu, MPP UUM juga merancang untuk menyalurkan bantuan kepada empat sekeluarga yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) yang turut terlibat dalam kemalangan tersebut.
“Bantuan kepada keluarga berkenaan akan diusahakan secara berasingan oleh MPP UUM dan tidak melibatkan sumbangan Tabung Kilat Kemalangan yang telah dikumpul sebelum ini,” jelas beliau.