fb fb fb fb fb

PM tinjau lokasi kebakaran Sekolah Sains Alam Shah

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi kata-kata semangat kepada pelajar ketika melawat bangunan pentadbiran Sekolah Menengah (SM) Sains Alam Shah, Cheras, yang musnah terbakar, hari ini. -Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa meninjau lokasi kebakaran di Bangunan Pentadbiran Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Cheras, hari ini yang musnah dalam kebakaran awal pagi Selasa lepas.

Beliau tiba di lokasi pada 2.25 petang sebelum menerima taklimat selama 20 minit daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berhubung situasi semasa serta laporan kejadian.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Perdana Menteri turut meninjau tapak cadangan pembinaan bilik guru sementara, selain berkesempatan beramah mesra bersama para pelajar dan warga pendidik sekolah berkenaan.

Selasa lepas, tingkat tiga pentadbiran Sekolah Menengah Sains Alam Shah yang menempatkan bilik guru, bilik mesyuarat, bilik fail, makmal dan beberapa bilik lain musnah dalam kebakaran, namun tiada mangsa terlibat.

SITI NOORAIN ABDULLAH