KUALA LUMPUR, 13 Jun - Perbincangan mengenai standard keselamatan dan protokol pengangkutan akan menjadi antara tumpuan utama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha memperkukuh aspek keselamatan, khususnya membabitkan kenderaan operasi seperti trak, dalam mesyuarat akan datang.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, beberapa cadangan sedang diteliti, termasuk penggunaan tempat duduk yang lebih selamat bagi mengurangkan risiko kecederaan sekiranya berlaku kemalangan.
“Sebenarnya, wakil kita turut terlibat dalam jawatankuasa (petugas khas yang menyiasat nahas FRU), dan beberapa cadangan telahpun dikemukakan. Antaranya melibatkan aspek keselamatan tempat duduk, susun atur serta penggunaannya agar lebih selamat dan teratur.
“Selain susunan tempat duduk, kita juga meneliti isu barangan yang dibawa bersama penumpang. Dalam sesetengah kes, peralatan berat atau barangan operasi diletakkan bersama anggota, sekali gus meningkatkan risiko sekiranya berlaku kemalangan,” katanya pada sidang media sempena dengan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan ke-90 Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad 2025 hari ini.
Tegasnya lagi, wujud keperluan mendesak untuk memisahkan sepenuhnya ruang penumpang dan kargo, terutama semasa perjalanan ke lokasi operasi, bukan hanya ketika operasi sedang dijalankan.
Isu keselamatan itu akan diteliti dengan lebih mendalam oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dapatan awal siasatan berhubung nahas melibatkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan, baru-baru ini.
Siasatan awal mendapati tiada kemudahan tali pinggang keledar di tempat duduk hadapan dan belakang, termasuk bahagian pemandu trak.