fb fb fb fb fb

60,000 permohonan diterima memasuki kolej vokasional

Gambar hiasan/BERNAMA

TAIPING, 2 Ogos - Lebih 60,000 permohonan diterima untuk memasuki kolej vokasional di seluruh negara tahun ini, melebihi kapasiti sebenar hanya sekitar 17,000 tempat.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, lonjakan permohonan ini mencerminkan sambutan luar biasa terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), yang kini tidak lagi dilihat sebagai pilihan kedua.

Menurutnya, kadar kebolehpasaran graduan TVET Kementerian Pendidikan kini melebihi 99 peratus, membuktikan laluan pendidikan berasaskan kemahiran ini mampu membuka peluang pekerjaan yang luas, stabil dan berdaya saing.

"Ini membuktikan satu respon yang begitu baik dalam pembangunan pendidikan TVET dan seperti yang saya sebut tadi usaha untuk mengarusperdanakan, memastikan pendidikan TVET menjadi pilihan utama ibu bapa dan anak anak akan diteruskan.

"kita bekerjasama dengan syarikat-syarikat swasta dan persatuan-persatuan swasta, bagaimana kita nak pastikan bahawa graduan TVET kita apabila sampai ke pasaran nanti mereka boleh memiliki kepakaran yang diperlukan di pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Perasmian Festival Udara Taiping (FUT) 2.0 di Lapangan Terbang Tekah, Kamunting, di sini.

FUT 2.0 yang berlangsung selama empat hari sejak Khamis lalu menjadi platform berimpak untuk mendekatkan generasi muda kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta pendidikan TVET.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI