GEORGE TOWN, 2 Ogos - Lebih 800,000 pencarum aktif kini dilindungi menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyasarkan sejuta pekerja termasuk petugas rumah ibadat bukan Islam dan mereka yang bekerja sendiri mencarum di bawah skim berkenaan tahun ini.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, menerusi skim itu pelbagai faedah disediakan sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
"Hasrat saya supaya lebih ramai orang khususnya mereka yang berada dalam sektor pekerja sendiri boleh mencarum, sebab ini merupakan salah satu manfaat keselamatan sosial yang ditawarkan oleh kerajaan.
"Dan sebenarnya kita nampak, mereka yang mencarum dalam skim pekerjaan ini, kalau berlaku apa-apa kemalangan, kita tidak mahu berlaku kemalangan, tetapi malang tidak berbau musibah boleh datang," katanya.
Menurut beliau, sekiranya berlaku musibah, pencarum sekurang-kurangnya dilindungi dari segi bayaran pampasan, pencen, dan juga rawatan perubatan.
Beliau berkata demikian selepas Program HARMONICO & PERKESO Serta Sesi Libat Urus Bersama Petugas Rumah Ibadat Bukan Islam di Penang Harmony Centre, di sini.
Pada majlis ini, sebanyak 200 petugas rumah ibadat bukan Islam di Pulau Pinang menerima caruman percuma di bawah skim berkenaan.
Sebelum ini, skim ini lebih tertumpu kepada penjaja dan pemandu e-hailing. Namun kini ia diperluas kepada pekerja rumah ibadat termasuk tok siak, tok imam, sami dan petugas keagamaan.