KUALA LUMPUR, 13 Jun – Tahap pematuhan penyedia platform dalam talian masih tidak memuaskan.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), meskipun usaha berterusan telah dilakukan, sebahagian penyedia platform masih gagal menunjukkan kerjasama yang memadai dalam mengekang penyebaran kandungan berbahaya.
"Masih terdapat beberapa saluran dalam talian yang didapati menyebarkan maklumat palsu, kandungan jelik melampau serta unsur berbaur ancaman," jelasnya dalam satu kenyataan.
Tindakan itu bukan sahaja mengelirukan orang awam, malah boleh melemahkan kepercayaan terhadap institusi awam dan berpotensi menggugat ketenteraman awam.
“Kandungan yang diterbitkan tersebut bukan sahaja mengelirukan orang awam, bahkan melemahkan kepercayaan terhadap institusi awam serta berisiko mencetuskan kegusaran masyarakat,” tegas MCMC.
Sehubungan itu, agensi tersebut akan terus mengambil tindakan tegas termasuk langkah perundangan terhadap mana-mana penyedia media sosial yang gagal mematuhi peraturan sedia ada.
Ini bagi memastikan ekosistem digital negara kekal selamat, berintegriti dan mematuhi kerangka perundangan Malaysia.
MCMC juga mengulangi komitmennya dalam melindungi orang awam daripada ancaman kandungan berbahaya dalam talian, demi menjadikan internet sebagai ruang yang selamat, beretika dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat.