fb fb fb fb fb

Dua pelajar Malaysia terima pelantikan ke akademi ketenteraan AS

Kadet Luthfil Haikal Haswadi (kanan) dan Kadet Rakis Ruhaim Abdul Rahman (kiri) bergambar bersama Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D. Kagan dan Major Jeneral Datuk Ts. Reizal Arif Tan Sri Ismail / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur hari ini mengiktiraf kejayaan dua pelajar cemerlang Malaysia, Luthfil Haikal Haswadi dan Rakis Ruhaim Abdul Rahman yang menerima pelantikan ke dua akademi perkhidmatan ketenteraan terkemuka Amerika Syarikat.

Kadet Luthfil Haikal, 20, bakal menyertai Akademi Tentera AS di West Point, New York, manakala Kadet Rakis Ruhaim, 22, akan menyertai pengajian di Akademi Tentera Laut AS di Annapolis, Maryland.

Kedua-dua mereka akan memulakan pengajian sebagai sebahagian daripada Kelas 2029.

Menurut Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D. Kagan, pelantikan itu mencerminkan harapan kepada generasi baharu kepimpinan yang berwibawa dan berdisiplin.

“Kadet-kadet muda ini mencerminkan harapan negara – bakal pemimpin yang akan meneruskan legasi ketenteraan dalam aspek disiplin, khidmat dan semangat berpasukan.

“Mereka benar-benar mengagumkan. Bijak, petah berbicara dan cemerlang dalam pelbagai bidang. Apa yang paling menonjol ialah keazaman mereka. Oleh itu, memberi pengiktirafan secara terbuka kepada mereka amatlah bermakna,” katanya dalam satu majlis penyampaian sijil pelantikan di kedutaan, Amerika Syarikat, di sini.

Majlis turut dihadiri Major Jeneral Datuk Ts. Reizal Arif Tan Sri Ismail, Penolong Ketua Staf Perkhidmatan Anggota, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), serta ahli keluarga kedua-dua kadet dan wakil Kementerian Pertahanan.

Kagan turut menyatakan penghargaan kepada Angkatan Tentera Malaysia atas pemahaman mendalam terhadap nilai dan kesan positif pertukaran ketenteraan antarabangsa.

Berkongsi pengalamannya, Kadet Darat Luthfil Haikal berkata beliau pada awalnya bercadang menimba pengalaman di luar negara secara umum, termasuk di Jepun dan United Kingdom.

Namun, reputasi dan prestij West Point mendorongnya menetapkan akademi tersebut sebagai keutamaan utama.

“Setelah saya melakukan lebih banyak penyelidikan mengenai West Point, termasuk tahap keupayaan dan reputasinya, saya mula meletakkan West Point sebagai pilihan utama,” katanya.

Sementara itu, Kadet Laut Rakis Ruhaim menjelaskan bahawa minatnya terhadap perkhidmatan Tentera Laut timbul daripada keunikan tradisi dan budaya yang dimiliki cabang perkhidmatan itu.

“Tentera Laut merupakan cabang yang paling menarik, kaya dengan tradisi dan selaras dengan piawaian antarabangsa. Perkhidmatan di atas kapal juga mempunyai adat tersendiri,” jelas beliau.

Pada majlis yang sama, Duta Kagan turut memberikan penghormatan kepada Pegawai Kadet Mohamad Khairel Adha Mohd Khairee, yang baru sahaja menamatkan pengajian dari U.S. Air Force Academy, menandakan kesinambungan kejayaan anak muda Malaysia dalam arena ketenteraan antarabangsa.

Duta Kagan menegaskan, pelantikan kedua-dua kadet itu menjadi lambang masa depan cerah hubungan dua hala Malaysia-Amerika Syarikat dalam membentuk pemimpin berprinsip yang menjunjung nilai disiplin, khidmat negara dan kerjasama pertahanan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN