KUALA LUMPUR, 1 Disember - Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam menyasarkan pelaksanaan penuh Sistem Pentadbiran Tanah Secara Elektronik (e-Tanah) di semua negeri di Semenanjung menjelang 2030, sebagai langkah memperkukuh pendigitalan urusan tanah dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam.
Menterinya Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sistem berkenaan yang mula diperkenalkan pada 2017 telah membuktikan keberkesanannya dalam mempercepatkan pemprosesan urusan tanah, mengurangkan tunggakan serta meminimumkan risiko penipuan.
"E-Tanah boleh memproses dengan cepat, menyelesaikan banyak 'backlog' dan memastikan setiap transaksi direkod secara telus," katanya selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Konsesi Pelaksanaan Sistem E-Tanah secara Kerjasama Awam-Swasta bagi Negeri Pulau Pinang di sini.
Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Menjelas lanjut, Datuk Seri Johari berkata, transaksi pindah milik dan jual beli hartanah yang sebelum ini mengambil masa lebih lama kini dapat dipercepatkan menerusi keupayaan sistem itu menjejak setiap urus niaga secara efisien.
Peningkatan kelancaran proses turut memberi kesan langsung kepada hasil negeri dan memudahkan urusan pengguna.
Menurut beliau, perluasan sistem itu selaras dengan agenda pemodenan perkhidmatan awam dan pemantapan tadbir urus tanah negara.
E-Tanah yang bermula sebagai projek rintis di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 2017 kini telah diperluas ke Perak, Putrajaya, Labuan, Terengganu, Selangor, Pahang, Johor, Kelantan, Kedah dan Perlis.