KUALA LUMPUR, 1 Disember - Sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 peringkat jawatankuasa hari ini, menjadi penampilan terakhir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat sebelum tamat tempoh sebagai senator esok.
Pada sesi itu, Tengku Datuk Seri Zafrul tampil santai dan sempat berseloroh apabila ditanya Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, mengenai tempoh masa diperlukan untuk menjawab isu Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia–Amerika Syarikat. Beliau pada awalnya menyatakan perlukan “tiga jam” sebelum menukar kepada 10 minit, mencetuskan gelak kecil dalam dewan.
Tan Sri Johari turut membalas gurauan itu dengan berkata khemah mungkin perlu dibawa masuk jika benar memerlukan tiga jam, sebelum meluluskan masa 10 minit seperti diminta.
Tengku Datuk Seri Zafrul kemudian memohon maaf atas gurauan tersebut dan meneruskan penjelasan berhubung ART, sebelum menutup penggulungan dengan ucapan terima kasih kepada semua pihak atas sokongan sepanjang enam tahun berada di Parlimen.
“Itu sahaja daripada soalan-soalan yang telah dibangkitkan tadi. kalau boleh, saya nak ucapkan terima kasih kepada semua kerana ini adalah penggulungan terakhir saya di Parlimen dan saya nak ucapkan terima kasih belah sini dan juga belah sana (pembangkang) kerana memberi sokongan dalam enam tahun saya di sini terima kasih,” katanya disambut tepukan ahli dewan.
Beliau dilantik sebagai senator pada 10 Disember 2022 dan mengetuai MITI sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan. Tempoh jawatannya sebagai senator akan tamat esok.