PASIR MAS, 1 Disember - Badan bukan kerajaan (NGO) disaran menyelaras agihan bantuan banjir melalui platform Pertubuhan Gabungan Bantuan Bencana NGO Malaysia (BBNGO) bagi memastikan penduduk terjejas menerima keperluan asas secara seimbang tanpa berlaku pertindihan bantuan.
Penyelaras Projek Bantuan Banjir Monsun Timur Laut BBNGO, Prof Madya Dr Mohd Rizal Mohd Zain, berkata penyelarasan amat penting terutama pada peringkat awal pemindahan apabila permintaan barangan meningkat dan maklumat di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bergerak pantas.
Menurut beliau, kerjasama dengan NADMA, JKM dan agensi kerajaan berjaya mengurangkan masalah bantuan berlebihan di sesetengah lokasi, manakala penduduk terjejas di kawasan lain turut mendapat perhatian, selaras pengalaman banjir 2014.
“Rakyat Malaysia ramai yang nak menyumbang, tetapi pada peringkat awal dulu sumbangan tidak sekata dan tiada koordinasi. Alhamdulillah, masalah itu kini dapat dikurangkan melalui penyelarasan dan kerjasama kerana objektif kita adalah membantu mangsa," katanya ketika ditemui media selepas Program Misi Bantuan Banjir BBNGO di SK Kedai Tanjong, Pasir Mas.
Mengulas insiden NGO tidak dibenarkan memasuki sebuah PPS baru-baru ini, Prof Madya Dr Mohd Rizal menegaskan setiap pertubuhan perlu mematuhi prosedur ditetapkan, termasuk mendapatkan surat pengesahan pejabat daerah, bagi menjaga keselamatan dan kelancaran operasi.
BBNGO pada Isnin menghantar kira-kira tiga tan barangan bantuan ke lima PPS di Pasir Mas dengan melibatkan 10 sukarelawan dan lima kenderaan. Antara bantuan disalurkan ialah 600 toto, 600 kain sarung batik, 600 kain pelikat, buah-buahan serta lampin pakai buang hasil sumbangan Yayasan Hasanah dan SP Setia Foundation.
Sejak 24 November, lebih 20 PPS di Bachok, Kota Bharu, Pasir Mas dan Rantau Panjang telah menerima bantuan bernilai keseluruhan mencecah RM150,000, termasuk sebahagian penghantaran ke Perlis bergantung situasi banjir semasa.
Penyelaras Projek Bantuan Banjir Monsun Timur Laut BBNGO, Prof Madya Dr Mohd Rizal Mohd Zain