PADANG BESAR, 1 Disember - Susulan banjir yang melanda Perlis, UMNO Bahagian Padang Besar menjalankan program pembersihan kediaman penduduk bersama komuniti setempat. Program berkenaan tertumpu di Kampung Tasoh, salah satu kawasan teruk terjejas di mana 11 daripada 60 buah rumah dinaiki air sehingga mencecah paras bumbung.
Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Ruzaini Rais, berkata seramai 30 penduduk kampung terlibat dalam kerja-kerja mencuci, mengangkat barang dan memindahkan barangan rosak yang tinggal selepas banjir.
“Kita akan berhubung dengan NADMA tentang bantuan yang akan diberikan dan Insya-Allah, 11 rumah ini akan pastikan semua keluarga mendapat bantuan sepenuhnya daripada pihak NADMA dan kerajaan pusat," katanya.
Beliau memaklumkan perkara itu ketika menyertai program gotong-royong membersih kediaman penduduk terjejas banjir di Kampung Tasoh, Padang Besar.
Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Ruzaini Rais
Pengerusi JPKKP Kampung Tasoh, Khairul Azhar Mohd Nor, pula menyatakan keadaan kerosakan di kampung itu sangat teruk dan menyeru mana-mana pihak yang berkemampuan untuk menyalurkan bantuan.
“Dari segi kerosakan, hampir keseluruhan tinggal paras bumbung. Jadi tiada apa yang tinggal. Kalau ada saluran yang boleh membantu, kami sedia menerima apa-apa saja bantuan daripada kerajaan, NGO atau mana-mana individu,” katanya.
Selain itu, UMNO Bahagian Padang Besar turut menyerahkan 30 set dapur mudah alih untuk kegunaan penduduk yang terjejas banjir di sekitar Padang Besar.
Pengerusi JPKKP Kampung Tasoh, Khairul Azhar Mohd Nor