PUTRAJAYA, 6 Februari- Kerajaan terus memperkukuh reformasi perkhidmatan awam melalui penambahbaikan kaedah pengauditan dengan memperkenalkan sistem e-SelfAudit.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan sistem itu bertujuan untuk menjalankan pengauditan ke atas hampir 2,000 syarikat kerajaan.
Anwar berkata inisiatif tersebut adalah langkah penting dalam memastikan setiap pihak termasuk syarikat dan agensi yang menerima dana kerajaan bertanggungjawab secara telus.
"Bila kita sebut tentang reformasi institusi, inisiatif ini amat penting kerana kali pertama kita menguruskan syarikat dan agensi. Prinsip yang diterapkan adalah mana-mana badan termasuk ahli politik atau ahli parlimen yang menerima dana daripada kerajaan, harus bertanggungjawab secara telus.
"Saya berharap semua pihak dapat menerima langkah ini seperti yang telah kita umumkan di Parlimen bahawa tiada siapa yang terkecuali," katanya.
Sistem e-SelfAudit diperkenalkan untuk mengenal pasti kawasan audit utama, menilai risiko serta menggunakan analitik data raya dan jejak audit dalam proses pengauditan.
Perdana Menteri ditemui pemberita selepas Majlis Peluncuran Pelaksanaan Pengauditan Syarikat Kerajaan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut memaklumkan kerajaan telah mengenal pasti enam isu utama dalam tadbir urus Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), dan Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG).
Antara kelemahan yang dikenal pasti termasuk pemantauan yang lemah terhadap pembentangan dan laporan pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI) serta pelan strategik syarikat.
Selain itu, kegagalan ketua pegawai eksekutif dalam mengurus, menyelia, dan mengawasi operasi perniagaan turut menjadi punca syarikat induk dan anak syarikat mengalami kerugian berpanjangan serta keuntungan tidak diagihkan sebagai pulangan kepada kerajaan.
"Keuntungan syarikat yang tidak diagihkan semula kepada kerajaan sebagai pulangan juga menjadi satu isu utama, selain kelemahan Jawatankuasa Pelaburan dan Jawatankuasa Audit dalam memberi pandangan dan nasihat kepada Lembaga Pengarah," katanya.
Anwar turut menegaskan keputusan signifikan syarikat termasuk pembayaran gaji dan perkhidmatan sering kali tidak dibawa untuk kelulusan Lembaga Pengarah, menjejaskan integriti pengurusan.
Bagi memperkukuh tatakelola, beliau berkata kerajaan telah mengeluarkan arahan Gerakan Pemantapan Tatakelola Nasional: Tatakelola Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK) dan Syarikat Bhd Menurut Jaminan (CLBG) pada 20 Mei 2024.