fb fb fb fb fb

Helikopter terbakar di Bentong digunakan untuk projek TNB

FOTO BOMBA

BENTONG, 6 Februari- Helikopter yang terbakar selepas terbalik ketika cuba mendarat di Bentong Fruits Farm Hot Spring Campsite, Jalan Kuala Lumpur Batu 9 di sini pagi tadi, merupakan pesawat yang digunakan bagi mengangkut bahan binaan untuk projek Tenaga Nasional Berhad (TNB). 

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata helikopter yang didaftarkan di Indonesia itu telah berada di Malaysia sejak 21 Januari lalu dan telah melakukan enam penerbangan.

"Hasil siasatan awal melalui keterangan juruterbang, beliau memaklumkan helikopter turun untuk mengisi minyak. Namun, ketika berada pada ketinggian beberapa kaki sebelum mendarat, berlaku situasi yang menyebabkan helikopter terbalik dan mengalami kerosakan," katanya ketika ditemui sempena Majlis Perasmian Kilang Peluru Automasi Tinggi Pertama di Malaysia milik Ketech Asia Sdn. Bhd. (Ketech Asia) di Lipis, Pahang, hari ini.

Menurut Yahaya, Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian.

Nahas mengakibatkan serpihan kipas helikopter terkena seorang jurutera lelaki warga Indonesia, Finsen Reskey Sembiring, 27, yang berada di kawasan pendaratan menunggu giliran untuk mengisi minyak.

Mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketika kejadian, hanya juruterbang berusia 44 tahun berada dalam helikopter dan pesawat tidak membawa bahan binaan. Dia dilapor mengalami kecederaan ringan dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Bentong.

0602 HELIKOPTER TERBAKAR KP
Yahaya Othman/RTM

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA