OXFORD,6 Februari-Para usahawan dan profesional Malaysia kini berpeluang melanjutkan pendidikan eksekutif bertaraf dunia menerusi program Bridge to Brilliance, inisiatif USANITA Sdn. Bhd.
Program berkenaan merupakan kerjasama organisasi tersebut dengan Sekolah Perniagaan Said (Said Business School - SBS), Universiti Oxford.
Kedua-dua pihak melakar sejarah apabila memeterai memorandum persefahaman (MoU) baru baru ini.
SBS diwakili oleh Pengarah Bersekutu Program Pengajian Eksekutif SBS, Corinne Young manakala USANITA diwakili Ketua Pengarah eksekutifnya, Datuk Adzliana Hasan
Menurut Pengarah Bersekutu Program Pengajian Eksekutif SBS, Corinne Young pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan organisasi itu bagi melaksanakan program latihan yang mampu memberikan impak positif terhadap pendidikan eksekutif, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di ASEAN.
"Kami ingin menyediakan peluang kepada para usahawan dari Malaysia dan ASEAN untuk ke Universiti Oxford untuk merasai pengalaman belajar di sini melalui program eksekutif yang ditawarkan.
"Bagi usahawan wanita pula, mereka berpeluang untuk belajar dan memberikan impak positif kepada Malaysia dan tempat kerja masing-masing,” katanya selepas majlis menandatangani MoU tersebut di sini.
Sementara itu, Adzliana di dalam ucapannya berkata, pemilihan Universiti Oxford sebagai rakan strategik USANITA dibuat kerana sejarah gemilang dan reputasi globalnya yang menjadi simbol kecemerlangan dalam aspek pendidikan dan kepimpinan.
“Melalui kerjasama ini, pihak USANITA akan membawa kepakaran bertaraf dunia kepada usahawan dan pelajar Malaysia,” katanya.
Jelasnya, kerjasama itu selari usaha Kerajaaan Madani untuk mengukuhkan hubungan diplomatik dan ekonomi antara Malaysia dan United Kingdom seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika lawatan rasmi beliau ke negara tersebut bulan lepas.
Ketika lawatan delegasi turut dibawa melawat kemudahan di kampus SBS termasuk Pusat Pengajian Thatcher dan Pusat Pengajian Eksekutif SBS di Egrove Park.
Diitubuhkan pada tahun 1996, SBS adalah sekolah perniagaan Universiti Oxford yang dinamakan sempena dermawan Wafic Rida Saïd, yang merupakan ahli perniagaan kelahiran Syria yang terkenal dengan sumbangannya dalam bidang pendidikan dan kebajikan.
SBS kini diiktiraf sebagai antara sekolah perniagaan terbaik dunia di University Oxford yang menawarkan program Sarjana Pentadbiran Perniagaan, pendidikan eksekutif dan kursus dalam pengurusan serta kewangan.